AGENDANASIONAL

MB belum terima surat, enggan buat spekulasi

SABAK BERNAM, 25 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari belum menerima surat pemakluman untuk memberikan penjelasan kepada Lembaga Disiplin KEADILAN berhubung kenyataannya menerusi satu video yang tular, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui dirinya akan dipanggil, semalam.

“Surat belum datang tidak boleh beri maklum balas. Kalau surat dalam bentuk pantun, saya jawab dalam bentuk pantun.

“Kalau surat ajak saya main bola, saya main bola. Tidak perlu buat spekulasi dan sebagai ahli parti, saya akan cuba penuhi kehendak parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Selangkah Ke Universiti 2019 di Dewan Sri Bernam.

Keputusan Mesyuarat Biro Politik KEADILAN, semalam antaranya meminta Lembaga Disiplin menghubungi Amirudin dan Pengerusi KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak serta beberapa anggota parti lain.

Mereka akan diminta memberi penjelasan berkenaan kenyataan-kenyataan mereka baru-baru ini, berkait isu video tular.

Dalam sidang media sama, Amirudin yang juga Ahli Majli Pimpinan Pusat (MPP) menyifatkan tidak timbul isu Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan meninggalkan parti dan menyertai BERSATU seperti didakwa sesetengah pihak.

“Setahu saya Dato’ Seri (Mohamed) Azmin menang majoriti besar sebagai Timbalan Presiden dan sebahagian besar daripada komponen utama parti adalah orang daripada pasukan (Mohamed) Azmin.

“Sebagai majoriti, tidak ada isu (menyertai BERSATU),” katanya.


Pengarang :