AGENDANASIONAL

MB: Rancang awal pemilihan kerjaya sesuai kehendak pasaran

SABAK BERNAM, 25 JUL: Persediaan menempuh alam pekerjaan perlu bermula di peringkat pemilihan bidang pengajian ketika melanjutkan pelajaran ke universiti supaya ia sesuai dengan kehendak pasaran.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pelajar perlu bijak menilai dalam memilih bidang bersesuaian di samping mengambil kira faktor sekeliling.

“Pemilihan kerjaya yang tepat memerlukan persediaan rapi bagi membolehkan seorang pelajar itu membabitkan diri dalam bidang pekerjaan terbaik bersesuaian dengan minat dan kecenderungan mereka.

“Kemajuan negara dan dunia yang begitu pesat juga menyebabkan bidang pengkhususan pekerjaan dan pendidikan berkembang tanpa diduga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Selangkah Ke Universiti 2019 di Dewan Sri Bernam, di sini, hari ini.

Katanya, program seperti ini memudahkan carian pekerjaan sekaligus, menjadi sebahagian usaha Kerajaan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.

Menurutnya, Kerajaan turut menyediakan kemudahan perkhidmatan pencarian kerjaya atas talian melalui perkhidmatan portal JobsMalaysia.

Program Selangkah Ke Universiti 2019 ini anjuran Yayasan Pelajaran Mara dengan kerjasama Yayasan Selangor, Jabatan Pendidikan Selangor dan Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Selangor.

Setakat ini, Yayasan Selangor sudah menaja program ini sebanyak RM40,800.

Program ini menghimpunkan pelajar-pelajar sekolah sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor untuk dibantu dalam meneruskan peningkatan kecemerlangan pendidikan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sasaran program ini adalah 500 pelajar Melayu dan Bumiputera yang akan menduduki SPM 2019 di dua Parlimen terpilih iaitu Sabak Bernam dan Kuala Selangor serta ibu bapa.


Pengarang :