PBT

MDKL sedia tukar papan tanda dwibahasa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LANGAT, 5 JUL : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) sedia untuk menukar semua papan tanda dalam daerahnya termasuk di Tanjung Sepat yang masih menggunakan dwibahasa kepada bahasa Melayu sepenuhnya.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya akan memulakan kerja penggantian papan tanda berkenaan selepas menerima surat rasmi daripada Kerajaan Negeri.

Katanya, MDKL sedia maklum berhubung perkara terbabit termasuk titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan semua papan tanda jalan di negeri ini wajib menggunakan hanya satu bahasa iaitu bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

“Kita sudah bersiap sedia untuk menukar semua papan tanda jalan, namun perlu menunggu surat rasmi daripada Kerajaan Negeri.

“Apabila kita menukar papan-papan tanda jalan yang terlibat, kita akan maklumkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyatakan bahawa semua papan tanda jalan di Selangor akan menggunakan bahasa Melayu sahaja selaras perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 serta titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Pada November lalu, Sultan Sharafuddin menitahkan supaya semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Melayu.


Pengarang :