PBTSELANGOR

Mural 3D bakal hiasi lorong Jalan Tengku Kelana

KLANG, 25 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) komited untuk mencantikkan lagi beberapa dinding lorong di Jalan Tengku Kelana melalui lukisan mural berbentuk 3D.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, kerja mengindahkan lorong terbabit sudah bermula, namun ia terpaksa ditangguhkan bagi memberi peluang kepada kerja baik pulih infrastruktur sekeliling lorong berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima peruntukan RM1.4 juta daripada Kerajaan Negeri untuk memperindahkan lorong Jalan Tengku Kelana, pada tahun ini.

“Kita memang bercadang untuk memperindahkan lorong Jalan Tengku Kelana dan ia sudah bermula sejak awal tahun lalu apabila salah satu mural sudah siap.

“Manakala, mural berbentuk 3D akan dinaikkan juga di kawasan itu selepas kerja baik pulih infrastruktur kawasan terbabit selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran ‘Heritage X-Plore’ Pusat Pemborong GM Klang di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, katanya, inisiatif melukis mural itu sebagai salah satu daya penarik untuk pelancong hadir ke Klang dan Selangor khususnya.

“Apabila orang awam melihat mural ini sudah pasti mereka mahu bergambar dan berswafoto, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke daerah ini,” katanya.

Terdahulu, seramai 70 mahasiswa Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA, Shah Alam berjaya menghasilkan mural memaparkan tempat bersejarah di daerah ini yang menghiasi dinding Blok C GM Klang di sini.

Projek terbabit sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat bersempena sambutan ulang tahun ke-10 GM Klang.


Pengarang :