Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

PPAS rancak laksana 14 projek pembangunan

SHAH ALAM, 18 JULAI: Sebanyak 14 projek pembangunan sedang rancak dijalankan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di seluruh negeri.

Pengarahnya, Mastura Muhammad berkata, tiga daripadanya iaitu di Jeram, Bukit Kapar dan Gombak sudah siap dibina ,sementara dua projek di Sabak Bernam dan Tanjung Karang dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

“Untuk makluman, empat projek lagi iaitu di Hulu Selangor, Kuala Langat, Taman Medan dan Puchong Indah juga sedang dalam pembinaan.

“Projek di Hulu Langat pula dalam proses tender yang dijangka selesai pada Oktober ini, manakala projek di Dataran Sabak masih dalam proses sebut harga kerana bajet hanya diluluskan untuk 2019.

“Sebuah lagi projek masih menunggu peruntukan kerana ia dengan kerjasama agensi swasta, dan dua lagi ditukar lokasi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 yang menyebut pengurusan projek pembangunan PPAS kurang cekap sehingga tidak mencapai sasaran ditetapkan mengikut Pelan Strategik PPAS 2016 – 2020.

Sehingga Disember 2018, sebanyak lima atau 17.9 peratus daripada 28 projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan mengalami kelewatan.


Pengarang :