SELANGOR

Tindakan pantas bomba berjaya kawal kebakaran jadi lebih teruk

PELABUHAN KLANG, 13 JUL : Tindakan pantas bomba berjaya mengelakkan kebakaran yang melibatkan tiga buah kilang di Taman Perindustrian Pulau Indah di sini hari ini, daripada menjadi lebih teruk, berikutan terdapat sebuah tangki minyak di salah sebuah kilang terlibat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.59 petang tadi itu, pemilik salah sebuah kilang yang terbakar memberitahu anggota bomba bahawa terdapat sebuah tangki minyak di premis kilangnya.

“Anggota kami terus mengambil tindakan mengawal kebakaran dari merebak ke tangki berkenaan.

“Api bermula dari kilang kimia sebelum ia merebak ke kilang bersebelahan, api dapat dikawal kira-kira 15 minit kemudian, dan kini kami masih lagi sedang melakukan kerja-kerja memadam kebakaran sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Tambah Hafisham dalam kejadian itu, kilang kimia berkenaan mengalami kerosakan 80 peratus, manakala kilang kitar semula dan gudang bersebelahan masing-masing mengalami kerosakan sebanyak 20 peratus dan 30 peratus.

“Seramai 50 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, BBP Andalas, BBP Sungai Pinang, BBP Telok Panglima Garang, BBP Rawang, BBP Kota Anggerik dan BBP KLIA terlibat dalam operasi memadam kebakaran ini,” katanya.

Ini merupakan kebakaran kilang kimia ketiga di taman perindustrian berkenaan, di mana kejadian pertama berlaku pada April lepas dan kejadian kedua pada 5 Julai lepas yang menyaksikan enam anggota bomba cedera.

Tambah Hafisham punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.

-BERNAMA


Pengarang :