AGENDA NASIONAL

Khoo hadir di Balai Polis Jelapang berhubung kenyataan terhadap ATM

IPOH, 19 OGOS: Pengasas Gamuda Bhd, Khoo Yew Yin hadir di Balai Polis Jelapang di sini hari ini berhubung kenyataannya terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dianggap sesetengah pihak sebagai menghina.

Beliau tiba di perkarangan balai polis berkenaan dengan menaiki kenderaan jenis BMW yang dipandu seorang wanita pada pukul 2.55 petang.

Wanita itu ketika ditemui pemberita selepas menurunkan Khoo di pintu masuk balai enggan memberi kenyataan, sebaliknya hanya mengucapkan terima kasih kepada lebih 10 pengamal media yang menunggu kehadiran mereka sejak 2.30 petang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng yang juga seorang peguam turut dilihat tiba pada pukul 3.10 petang.

Bagaimanapun pengamal media tidak dapat memasuki balai polis itu berikutan pintu pagar dikunci oleh pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, Khoo dipanggil pihak polis susulan laporan yang diterima terhadap ahli perniagaan itu kerana kenyataan yang didakwa menghina ATM pada 14 Ogos lepas.

Bagaimanapun, Khoo telah membuat permohonan maaf setelah menerima tekanan pelbagai pihak termasuk daripada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

– BERNAMA


Pengarang :