Perairan Mersing adalah lokasi dua rakyat Singapura dilaporkan hilang pada 8 Ogos lalu. Foto facebook/Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
AGENDANASIONAL

Ops SAR rakyat Singapura masih hilang ketika berkayak ditamatkan

JOHOR BAHARU, 19 OGOS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang daripada dua rakyat Singapura yang masih hilang ketika berkayak di perairan Mersing pada 8 Ogos, ditamatkan pada pukul 9 malam tadi selepas tiada petunjuk baharu ditemukan oleh pasukan penyelamat.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, operasi bagaimanapun akan diaktifkan semula jika terdapat petunjuk baharu dijumpai.

“Operasi ditamatkan kerana tiada lagi sebarang petunjuk baharu ditemukan selepas menjumpai mangsa wanita (salah seorang mereka) pada 14 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, sebelum itu operasi telah pun dijalankan selama 10 hari meliputi skop pencarian dari udara, permukaan laut, pesisir pantai dan di pulau-pulau yang melibatkan seramai 155 anggota, lima aset udara dan 11 aset laut dari pelbagai agensi dengan anggaran kos operasi sebanyak RM431,380.

Puah Geok Tin, 57, bersama Tan Eng Soon, 62, dilaporkan hilang setelah terpisah daripada 13 rakan mereka ketika berkayak di perairan Mersing.

Mereka terpisah berikutan laut bergelora dan angin kuat ketika itu namun mayat Puah telah ditemui di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman, Terengganu pada 14 Ogos lepas manakala mayat Tan belum dijumpai.

– BERNAMA


Pengarang :