EXCOSELANGOR

Pencemaran sungai di Selangor, Kerajaan Negeri tidak kompromi

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam isu pencemaran alam sekitar membabitkan pencemaran sungai di seluruh negeri.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, pihaknya memberi amaran kepada semua pengusaha kilang supaya tidak membuang sisa kumbahan atau kimia.

“Kerajaan Negeri serius dan tidak berkompromi dalam isu ini. Jangan sewenang-wenangnya membuang sisa-sisa kimia yang menyebabkan air sungai hitam dan busuk.

“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas menerusi undang-undang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pencemaran Sungai Sasaran di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Mengulas isu pencemaran sungai itu, Hee berkata, Kerajaan Negeri sedang menunggu keputusan laporan berkenaan tahap pencemaran dari Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.

“Kita telah bermesyuarat dengan pelbagai agensi, sampel pencemaran juga sudah diambil dua minggu lalu dan sekarang masih menunggu keputusan.

“Buat masa ini, kita mengesyaki sebuah kilang kertas melepaskan sisa kimia dan sekiranya didapati benar, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Beliau berkata, ekoran dari pencemaran sungai itu juga, nelayan mengeluh akibat hasil tangkapan merosot.

Terdahulu, akhbar melaporkan pencemaran Sungai Buloh dan mengenai penurunan kualiti air sungai, warna air yang hitam serta bau tidak menyenangkan memberi kesan kepada aktiviti pantai di sekitar muara sungai berkenaan.

Kawasan itu mempunyai kepentingan dalam penternakan kerang, pelancongan dan habitat kepada burung pantai tempatan serta burung berhijrah.

Hampir 40 spesies burung dapat dilihat di kawasan muara Sungai Buloh dan kawasan pantai berhampiran.


Pengarang :