AGENDANASIONAL

Polis buka kertas siasatan isu Dong Zong

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Sebanyak enam laporan polis berhubung isu Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong) diterima setakat ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

“Kami juga membuka kertas siasatan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman (USJT) D5,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu Dong Zong di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, dekat sini.

Sebelum ini, Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim dilapor berkata, badan pertubuhan pendidikan Cina itu akan menggerakkan kempen mengumpul tandatangan sebagai membantah pembelajaran khat di sekolah vernakular, selain bertegas langkah kerajaan itu sebagai satu bentuk ‘Islamisasi’.

Sebagai respon, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melabelkan pertubuhan itu sebagai ‘rasis’, kerana tidak pernah bersetuju dengan keputusan kerajaan sebelum ini termasuk pengenalan Sekolah Wawasan yang menempatkan sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan dalam satu kawasan sama.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata pihaknya tmenerima 115 laporan polis, serta membuka kertas siasatan berhubung isu kehadiran pendakwah Dr Zakir Naik di negara ini.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, kerana mengeluarkan kenyataan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan,” katanya.

Pada Selasa lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata masalah yang dihadapi kerajaan ialah Zakir tidak boleh dihantar balik ke negara asalnya, India, kerana bimbang dibunuh.

Bagaimanapun, beliau terbuka kepada sebarang cadangan untuk menghantar Zakir ke mana-mana negara yang mahu menerima penceramah itu.

Antara kenyataan kontroversi Zakir ialah semasa ceramahnya pada 3 Ogos, di mana beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Dr Mahathir.

Beliau juga turut dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap masyarakat Cina di Malaysia sebagai respon kepada desakan supaya beliau diusir dari negara ini.

-BERNAMA


Pengarang :