DYMM Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat Chenta Anggerik di Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang pada 26 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Tengku Permaisuri Selangor lancar ekspedesi saintifik kenali spesies orkid

RAWANG, 26 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli menyempurnakan pelancaran Ekspedisi Saintifik Biodiversiti DiRaja Taman Negeri Selangor Bukit Fraser, Daerah Hulu Selangor, Selangor di Taman Eko Rimba (TER) Komanwel.

Ekspedisi yang berlangsung selama lima hari sehingga 30 Ogos dalam Taman Negeri Selangor Bukit Fraser ini disertai 40 penyelidik dari seluruh Malaysia yang diketuai pakar dalam penyelidikan orkid, Prof Dr Rusea Go.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian dalam sembah ucapan mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program ini tercetus apabila Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mengadakan kunjungan mengadap ke atas Tengku Permaisuri Norashikin di Istana Bukit Kayangan pada 9 Januari 2018.

Dalam kunjungan itu, baginda dipersembahkan dengan lukisan bunga orkid ‘Vanilla Norashikiniana’ sebelum menitahkan supaya diadakan satu ekspedisi saintifik di Bukit Fraser bagi mengenalpasti speseis orkid di sana.

“Program Ekspedisi DiRaja yang julung kali diadakan di Negeri Selangor ini bertujuan untuk mengumpul, mendokumentasi serta menjalankan kajian saintifik ke atas kepelbagaian orkid, tumbuhan ornamental dan tumbuhan ubatan yang terdapat di Bukit Fraser dan Hulu Selangor.

“Data-data yang diperolehi akan membantu dalam penyelidikan universiti, pengajaran, pembelajaran, perundingan seterusnya mempertingkatkan kerjasama UPM dengan pihak komuniti.

“Selain itu, UPM juga boleh bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan membuat perancangan pemeliharaan sumber-sumber khazanah alam semula jadi yang terkandung dalam kawasan hutan tersebut,” katanya.

Spesies orkid baharu itu ditemui tidak berbunga sekitar tahun 2011 di sebuah Hutan Simpan dan mula berbunga pada November 2014 selepas ditanam di nurseri UPM.

Kecantikan warna tersendiri yang ada pada orkid berkenaan, UPM dan JPNS telah memohon perkenan untuk menamakan spesies baharu itu dengan nama Tengku Permaisuri Selangor iaitu ‘Vanilla Norashikiniana’.

Orkid ‘Vanilla Norashikiniana’ dimahsyurkan secara rasmi bersempena nama Tengku Permaisuri Selangor pada 3 November 2017.

Selain itu, Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan melepaskan konvoi ekspedisi serta berangkat ke Taman Konservasi Orkid Liar Tengku Permaisuri Norashikin Bukit Fraser bagi menyempurnakan upacara menanam orkid speseis ‘Vanilla Norashikiniana’, petang ini.


Pengarang :