AGENDANASIONAL

656 sekolah di lima negeri ditutup akibat jerebu

PUTRAJAYA, 17 SEPT: Sebanyak 648 buah sekolah ditutup hari ini berikutan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, kata Kementerian Pendidikan (KPM).

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, daripada jumlah itu, 636 sekolah adalah sekolah kerajaan di Sarawak (298), Selangor (201), Putrajaya (25) dan Negeri Sembilan (112) yang membabitkan keseluruhan pelajar seramai 445,249 orang.

Sebanyak 12 buah sekolah swasta juga ditutup membabitkan 7,432 orang pelajar, menurut KPM.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Lapan ditutup di Perak

Sementara itu, di Ipoh,  sesi persekolahan sebelah petang di lapan Sekolah Menengah di daerah Manjung terpaksa ditangguhkan hari ini berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada paras sangat tidak sihat iaitu melebihi 200.

Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Manjung, SMK Tok Perdana, SMK Ambrose, SMK Dato Idris dan SMK Ahmad Boestamam.

Beliau berkata, turut terjejas ialah SMK Seri Samudera, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Nan Hwa dan SMK Methodist ACS Sitiawan.

“Ya, kita akan menutup sekolah untuk sesi petang di daerah Manjung hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai penutupan sekolah-sekolah di daerah berkenaan.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Seri Manjung menjadi lokasi terkini mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat mulai pukul 12 tengah hari tadi iaitu 203 dan meningkat sehingga 217 setakat pukul 3 petang ini.

Sementara itu, empat lagi kawasan di Perak mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Taiping (104) serta Tasek dan Pegoh di Ipoh masing-masing 110 dan 109.

– BERNAMA


Pengarang :