Selangorkini
AGENSI SELANGOR

Berkeley Corner diroboh malam tadi

KLANG, 11 SEPT: Sebuah restoran terkenal, Berkeley Corner di Taman Berkeley di sini, dirobohkan pihak berkuasa dalam satu operasi malam tadi.

Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang dalam kenyataan hari ini berkata, kerja perobohan itu dijalankan kerana restoran berkenaan didirikan atas kerajaan.

“Kerja meroboh dilakukan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK), anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Bomba, Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor.

“Tindakan diambil selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 19 Julai lepas, yang memutuskan pihak plaintif perlu merobohkan struktur bangunan di atas tapak berkenaan dalam tempoh satu bulan dan jika gagal pihak plaintif perlu menanggung kos perobohan berkenaan.

“Sehubungan itu, pihak Pentadbir Tanah Klang telah mengeluarkan satu notis peringatan pada 26 Ogos lepas bertempoh tujuh hari kepada pemilik struktur untuk mengosongkan tapak berkenaan,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi akibat kegagalan dan keengganan pemilik struktur untuk mengosongkan dan merobohkan struktur bangunan, tindakan penguatkuasaan terpaksa dijalankan.

Katanya, pencerobohan tanah kerajaan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Restoran berkenaan mula beroperasi sejak 2000, pada Ogos 2017 pihak berkuasa cuba menjalankan operasi meroboh restoran berkenaan tetapi terpaksa dibatalkan selepas terjadi kekecohan selepas ia dibantah oleh orang ramai dan beberapa Badan Bukan Kerajaan.

Tinjauan Bernama di lokasi perobohan mendapati kerja-kerja meroboh dijalankan sejak kira-kira pukul 10.30 malam dan struktur restoran berkenaan roboh sepenuhnya pada 12.10 tengah malam.

Walaupun berlaku sedikit kekecohan pada awal kehadiran pihak berkuasa untuk merobohkan restoran berkenaan, ia dapat dikawal dengan segera oleh anggota polis yang berkawal dan kerja-kerja meroboh dijalankan dengan lancar dan terkawal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kehadiran pihak polis hanya membantu melancarkan operasi berkenaan.

Beliau berkata, tiada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di lokasi, serta tiada kekecohan dilaporkan berlaku ketika operasi dijalankan.

“Seramai 170 anggota dan pegawai polis ditempatkan di lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :