Keadaan jerebu yang melanda Sri Aman yang mencecah tahap bahaya pada 17 September 2019. Foto Facebook SRI AMAN fm
AGENDANASIONAL

Jerebu Sri Aman: JPBN gerakkan semua agensi berkaitan

KUCHING, 18 SEPT: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) akan menggerakkan semua agensi berkaitan untuk mengatasi masalah jerebu yang melanda Sri Aman, pada ketika ini.

Setakat 5 petang semalam, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu mencatatkan paras bacaan tahap berbahaya iaitu 407.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, JPBN menghubungi pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menyegerakan kerja pembenihan awan apabila keadaan atmosfera bersesuaian.

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga diarahkan untuk menggunakan helikopter bagi membantu kerja pemadaman api selain mengatur gerakan anggota tambahan di balai bomba berdekatan.

“Kita tahu ada dua titik panas di Sri Aman berikutan kebakaran belukar namun punca sebenar jerebu yang teruk ini datangnya daripada Kalimantan,” katanya yang juga Pengerusi JPBN dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hari ini katanya, JBPN akan mengadakan mesyuarat bagi menangani isu jerebu yang kian teruk melanda kawasan itu.

Jabatan Pendidikan Negeri dalam kenyataan memaklumkan, sejumlah 298 sekolah di lapan daerah di Sarawak ditutup berikutan masalah jerebu rentas sempadan.

-BERNAMA


Pengarang :