Selangorkini
Pengusaha perahu tambang, Jeni Boh, 54, (kiri) mengambil penumpang di Sungai Sarawak berhampiran Tebingan Sungai Kuching ketika jerebu semakin teruk melanda Kuching, Sarawak yang dirakam pada 8 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Jerebu: Sri Aman turut catat IPU sangat tidak sihat

KUCHING, 8 SEPT: Satu lagi kawasan di Sarawak, iaitu Sri Aman mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat menjadikan kesemuanya tiga kawasan yang merekodkan bacaan IPU melebihi 200, setakat pukul 8 pagi ini.

Ketua sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak berkata, bacaan IPU di Sri Aman meningkat dari 175 pada 8 malam tadi, kepada 229 pagi ini.

Dua lagi kawasan yang merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat sebelum ini terus mencatatkan peningkatan dengan Kuching 232 berbanding 227, pada 8 malam tadi manakala Samarahan 213 berbanding 202.

Sementara itu, lima lagi kawasan kekal mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan beberapa daripadanya menunjukkan peningkatan pagi ini berbanding 8 malam tadi iaitu Sarikei (164 berbanding 136), ILP Miri (137 berbanding 117) Sibu (161 berbanding 103) dan Miri (149 berbanding 151).

Mukah merekodkan bacaan IPU sederhana malam tadi beralih kepada tidak sihat dengan bacaan IPU 101 pagi ini.

BERNAMA


Pengarang :