PBTSELANGOR

Lebih 5 juta pengguna Bas Smart Selangor di Klang

OLEH ALIFF HAIKAL

KLANG, 10 SEPT: Seramai 5,219,564 penumpang Bas Smart Selangor dicatatkan di semua laluan di bawah Majlis Perbandaran Klang (MPK) sehingga Ogos lalu.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,944,337 melibatkan penumpang yang menggunakan bas yang melalui laluan Klang (KLG) 1.

“Laluan Klang (KLG) 1 meliputi Bandar Klang, Jalan Stesen, Jalan Istana, Persiaran Raja Muda Musa, Jalan Kim Chuan, Jalan Batu Unjur, Persiaran Ampuan Rahimah dan Jalan Raya Barat.

“Baki 1,275,227 lagi penumpang melibatkan laluan KLG 2 iaitu Bandar Klang, Jalan Pasar, Leboh Tapah, Jalan Pekan Baru, Jalan Meru, Jalan Bahagia dan Jalan Haji Sirat,” katanya.

Yasid berkata, dengan penambahan laluan baharu KLG 3 dan KLG 4 ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat menambah jumlah penumpang Bas Smart Selangor di kawasan Klang.

“Penambahan laluan bas itu juga sekali gus boleh mengurangkan masalah kesesakan di bandar Klang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kemudahan perkhidmatan Bas Smart Selangor telah membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa peka dengan keperluan rakyat dalam memberi kemudahan yang terbaik.

“Warga Klang diharapkan dapat mengguna dan menghargai kemudahan yang disediakan ini demi kebaikan bersama,” katanya.


Pengarang :