AGENDA NASIONAL

Perkasa program turun padang, dekati remaja bermasalah

MELAKA, 10 SEPT: Semua pihak termasuk jabatan agama Islam negeri perlu memperkasakan program bersifat turun padang bagi mendekati kumpulan sasar khususnya golongan remaja bermasalah agar dapat membimbing mereka supaya kembali ke pangkal jalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, gejala keruntuhan akhlak seperti pergaulan bebas dalam kalangan remaja bukan suatu perkara kecil dan jika tidak ditangani mereka akan menjadi liabiliti kepada negara pada masa depan, sekali gus mengganggu proses pembangunan sesebuah negara.

“Tanpa menafikan tugas-tugas penguatkuasaan dan pendakwaan yang dijalankan pihak berkuasa di negeri, program bersifat turun padang dengan mendekati remaja yang terus diperkasakan mampu menjadi suluh pandu bagi hati mereka yang tersasar supaya dapat kembali ke pangkal jalan seiring gagasan ‘rahmatan lil alamin’.

“Pihak-pihak yang lain juga termasuk ibu bapa, guru dan pemimpin perlu mengambil cakna terhadap isu ini, bukan lagi masanya untuk menuding jari mencari kesalahan pihak tertentu, sebaliknya harus bersatu hati membendung gejala pergaulan bebas yang boleh merencatkan pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Cakna Pergaulan Anda, Cegah Jenayah Tanggungjawab Bersama 2019 di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat.

Teks ucapan Mujahid dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd Yusoff.

Mujahid berkata, dalam usaha membendung gejala negatif melalui penguatkuasaan undang-undang, program dakwah ke arah membudayakan amalan berbudi bahasa, hormat-menghormati dan amanah turut perlu digerakkan agar golongan tersasar dapat kembali mengamalkan integriti dan budi pekerti yang luhur.

“Sekiranya semua aspek ini disatukan, tidak mustahil kita akan dapat membentuk sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri sekali gus melahirkan masyarakat berkeperibadian unggul dan golongan remaja yang bersahsiah tinggi bagi memacu dunia ke arah pembangunan lebih maju,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, Mujahid berkata, ia bertujuan mengetengahkan pencegahan jenayah syariah berkonsep rahmah dan menggerakkan program dakwah kepada semua golongan dalam usaha menjayakan dasar kerajaan gagasan ‘rahmatan lil alamin’.

“Ini selari dengan pelan intervensi kluster agensi agama Persekutuan (PIKAP) 2019-2025 yang dibangunkan Jakim bersama agensi-agensi di bawahnya yang mana kluster perundangan dan kehakiman merupakan satu daripada tujuh kluster berkenaan.

“Kita dapati kluster perundangan dan kehakiman boleh berperanan secara proaktif dalam memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai kefahaman undang-undang syariah serta menyampaikan dakwah secara berkesan dalam usaha membangunkan modal insan,” katanya.

Tujuh kluster tersebut ialah perundangan dan kehakiman; pendidikan dan pembangunan insan; dakwah dan media; sosioekonomi; pengurusan haji dan pensijilan halal; pengurusan masjid; serta penyelidikan dan pemikiran Maqasid.

– BERNAMA


Pengarang :