AGENDAGLOBAL

Malaysia, China tangani isu pendatang tanpa izin

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Jabatan Imigresen Malaysia dan China akan bekerjasama bagi mencari penyelesaian terhadap isu warga China yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan pihak imigresen China di Beijing pada April lepas bagi membincangkan isu tersebut.

Beliau berkata pihak imigresen China sedia maklum mengenai rakyat mereka yang melakukan pelbagai kesalahan ketika menetap di Malaysia dan bersedia memberi bantuan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk menangani perkara tersebut.

“Saya telah maklumkan kepada mereka (Imigresen China) bahawa ada rakyat China antaranya menetap di negara ini melebihi masa selain bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di premis-premis hiburan.

“Mereka bersedia untuk berbincang dan mencari penyelesaian dalam hal ini,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Selain itu, Khairul Dzaimee berkata pihaknya turut menjalinkan kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguat kuasa lain dalam menangani isu pendatang tanpa izin terutama di pintu-pintu masuk negara.

Bernama sebelum ini melaporkan Jabatan Imigresen menolak kemasukan kira-kira 30,000 warga asing kerana tidak memenuhi syarat untuk masuk ke Malaysia, antaranya pelancong dan pekerja asing yang tidak dituntut oleh majikan.

Bilangan mereka yang diberi notis penolakan kemasukan itu adalah bagi tempoh Januari hingga 10 September lepas.

Dilaporkan, warga asing paling tinggi yang tidak dibenar masuk dan diarah pulang semula ialah rakyat Indonesia, Bangladesh dan China walaupun mereka datang dengan pas yang sah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

“Kebanyakan mereka cuba masuk sebagai pelancong dan bila ditanya tempat tinggal mereka tidak tahu, dan di mana mereka ini akan tinggal, pas lawatan sosial cuma mempunyai 30 hari dan mereka ada duit RM200 di dalam poket,” kata Khairul Dzaimee.

– BERNAMA


Pengarang :