AGENDANASIONAL

PM tiba di Jepun untuk lawatan tiga hari

OSAKA (Jepun), 6 SEPT: Perdana Menteri Tun, Dr Mahathir Mohamad tiba di Osaka
pada malam Khamis bagi memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke Kyoto,
Jepun.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir, mendarat di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kansai pada jam 10.05 malam waktu tempatan (9.05 malam waktu
Malaysia).

Beliau disambut oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya; Duta Besar
Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan serta Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr
Makio Miyagawa.

Pada lawatan itu, perdana menteri akan menerima penganugerahan Ijazah Kehormat
Doktor Persuratan daripada Doshiba University dalam satu majlis khas di
universiti tersebut.

Selain itu, Dr Mahathir akan melawat dua syarikat iaitu Towa Corporation dan
Shimadzu Corporation selain mengunjungi Ritsumeikan Elementary School bagi
melihat sendiri kaedah unik diamalkan sekolah berkenaan yang menggabungkan
pendekatan tradisional dan teknologi moden dalam sistem pembelajarannya.

Perdana Menteri akan turut menghadiri majlis makan malam bersama kira-kira 200
diaspora Malaysia yang terdiri daripada penuntut serta ekspatriat, pada hari
kedua lawatan beliau.

Sebelum mengakhiri lawatan, Dr Mahathir dijangka menerima kunjungan Gabenor
Japan Bank for International Cooperation Tadashi Maeda bagi membincangkan
penerbitan Bon Samurai.

Perdana menteri dijangka menamatkan lawatan itu dan kembali ke tanah air pada
Ahad.

– BERNAMA


Pengarang :