AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Air percuma bersasar jimat 50 peratus perbelanjaan negeri

SHAH ALAM, 3 OKT: Skim baru air percuma yang bakal dikuat kuasa pada 1 Mac 2020 bakal menjimatkan lebih 50 peratus perbelanjaan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Skim Air Darul Ehsan kepada golongan bersasar itu juga akan membantu mereka yang benar-benar layak.

“Sekarang ini kos pelaksanaan program air percuma itu menelan belanja hampir RM200 juta, namun dengan pelaksanaan penuh pada 1 Mac tahun depan, ia mampu mengurangkan (perbelanjaan) sehingga RM100 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rantaian E-Bekalan Digital Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, di sini hari ini.

Penduduk Selangor berpendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah bakal menikmati skim baru itu yang menyasarkan pengguna domestik yang mempunyai meter individu dan meter pukal bagi pangsapuri kos rendah.

Untuk meter pukal, pengguna perlu mendapat pengesahan daripada Badan Pengurusan Bersama atau Perbadanan Pengurusan.

Pendaftaran bagi skim itu bermula 30 September sehingga 31 Disember ini.

Sejak 2008 sehingga 31 Disember tahun lalu, Selangor membelanjakan lebih RM1.8 bilion bagi melaksanakan program Pemberian Air Percuma.

 


Pengarang :