AGENDANASIONAL

KDNK 8.0 peratus untuk capai Wawasan Kemakmuran Bersama

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Malaysia perlu meraih pertumbuhan ekonomi 8.0 peratus bagi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Pengerusinya, Tan Sri Kamal Salih berkata menurut pengiraan beliau, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu bergerak di antara 6.0 dan 8.0 peratus dan ia tidak boleh berada dalam lingkungan 4.0 dan 5.0 peratus.

“Angka sedemikian tidak mencukupi, ia akan menjadi satu peningkatan yang amat lembap. Pada masa yang sama, negara lain akan mengatasi kita. Untuk mencapai lebih 6.0 peratus, kita perlu melakukan strategi lompatan dan memberi tumpuan kepada sektor utama,” katanya.

Malaysia perlu peka dengan anomali yang berlaku di luar negara dan tidak leka ketika harga minyak melonjak kerana ia hanya memberi dorongan pendapatan yang sementara.

Sebaliknya, Malaysia perlu mengalihkan sumber dan melabur dalam perubahan struktur pertumbuhan jangka panjang ke sederhana.

“Kita boleh berbelanja banyak, kita juga mungkin cuba untuk menyusun semula hutang, tetapi akhirnya kita mesti terus mengembangkan infrastruktur, industri baharu, teknologi, pertanian bagi menghasilkan lebih banyak makanan dan melahirkan lebih ramai orang berkemahiran,” katanya .

Kamal Salih berkata, elemen dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah pun dimasukkan dalam Wawasan 2020, di bawah pemimpin sebelum ini.

Bagaimanapun, rejim tersebut mula menjadi tamak disebabkan berakarnya, kepentingan yang lebih utama kepada diri sendiri berbanding negara.

“Kita kekurangan mentaliti jenis ini (mengutamakan kepentingan negara) dan orang suka melakukan perkara yang mudah, mereka akan mengikuti laluan yang kurang cabaran dan tinggal di zon selesa kerana mereka tidak tahu untuk meneroka dan takut kegagalan.

“Sedangkan keusahawanan, teknologi, pelaburan, inovasi, kesemuanya bersifat eksperimen, anda perlu melaluinya dan jika anda gagal bangkit, kegagalan sebenarnya merupakan satu pengajaran, malangnya, anda memilih untuk berputus asa,” katanya.

Sesetengah rakyat Malaysia sudah berputus asa dengan negara ini dan mereka berhijrah ke luar negara dan meraih kesenangan.

“Defisit kepercayaan terhadap kerajaan ini sebenarnya adalah satu perkara besar dan generasi muda tidak ambil peduli kerana mereka akan buat apa yang mereka rasa akan berjaya,” katanya.

Tempoh awal Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah melahirkan kumpulan rakyat yang berkualiti, terdiri daripada Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Mereka telah berjaya, mereka ini yang menjadi tonggak ekonomi supaya terus berkembang. Tetapi sudah ada peningkatan jumlah individu yang mula menyerah kalah serta menunggu lebih banyak bantuan daripada kerajaan dan kerajaan pula, tidak mempunyai wang yang cukup untuk diberi sebagai bantuan.

“Semasa kerajaan mempunyai peruntukan yang mencukupi, bantuan ini hanya diberi kepada kroni dan kesannya tidak tersebar secukupnya, tidak cukup inklusif,” katanya.

Malaysia juga perlu mengurangkan kebergantungan terhadap pelaburan asing kerana ia adalah sebab mengapa negara tidak mencapai status negara industri pada kadar yang lebih cepat.

“Malahan kita telah membuat langkah ke belakang apabila menolak perindustrian sejak 20 tahun lepas,” katanya.

Malaysia juga telah beralih kepada perkhidmatan daripada sebagai sebuah negara pengeluar, walaupun ia masih menghasilkan produk berdasarkan kepada ekonomi tradisional yang berasaskan sumber.

“Walaupun wujud kepelbagaian, kita masih bergantung kepada industri minyak sawit dan getah tetapi bukan sebagai pengeluar utama selepas Thailand dan Indonesia mengambil alih peranan ini.

“Kita juga terlalu bergantung kepada minyak dan gas. Apabila harga minyak turun, kita terjebak dalam masalah,” katanya, sambil menambah bahawa dana yang kerajaan kumpulkan daripada cukai, kebanyakkan digunakan bagi tujuan pentadbiran.

Melangkah ke hadapan, Kamal Salih berkata, kita harus menggalakkan pencipta tempatan, penyelidikan dan pembangunan termasuk mengkomersilkan inovasi daripada universiti.

“Kita lemah dalam pengkomersilan. Apabila ada individu yang mempunyai idea, masalah birokrasi biasanya menjadi halangan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :