Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kanan) melancarkan Food Bank Siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rostam Affendi Salleh (kanan) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Dr Azizan Abdullah (dua, kiri). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bank Makanan Siswa bakal diperluas ke IPTS tahun depan

SHAH ALAM, 21 OKT: Program Food Bank Siswa akan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mulai tahun depan kerana terdapat permintaan tinggi.

Ia susulan kejayaan program terbabit membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di hampir 20 universiti awam (UA), kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata pihaknya menyasarkan program berkenaan akan diwujudkan di 123 IPTS termasuk politeknik dan institut latihan guru di seluruh negara.

“Susulan kepada kejayaan Food Bank Siswa yang kami wujudkan sejak Ogos tahun lalu, saya ada terima banyak panggilan daripada IPTS yang mahu program ini diwujudkan juga di institusi mereka bagi membantu pelajar.

“Malah kesudian Kementerian Kewangan menyalurkan peruntukan RM25 juta (pada pembentangan Belanjawan 2020) untuk program ini juga dilihat dapat membantu kami memperluaskan lagi sasaran penerima mulai tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Food Bank Siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata kementeriannya akan menambah baik keperluan logistik bagi program berkenaan selain membangunkan sistem servis supaya penyaluran bantuan makanan dapat direkod dan diselia dengan baik sejajar pertambahan jumlah IPT pada masa depan.

Katanya, UiTM adalah institusi pengajian tinggi ke-19 melancarkan Food Bank Siswa dan 1,000 pelajarnya akan menerima manfaat itu menjadikan jumlah keseluruhan pelajar UA yang menerima bantuan itu di seluruh negara setakat ini adalah 7,500 orang.

Mengulas laporan media bahawa terdapat lambakan produk import memaparkan status halal meragukan, Saifuddin Nasution berkata bahagian penguatkuasaan kementeriannya akan meneliti terlebih dahulu memandangkan pihaknya menerima purata 2,500 aduan sebulan.

“Memang aspek penguatkuasaan bawah perihal dagangan dikawal selia oleh kementerian ini, namun kami ada sembilan saluran aduan. Kami akan teliti dulu daripada 2,500 aduan itu, adakah ia bersabit dengan status halal sesuatu produk.

“Selepas itu, kami akan bekerjasama dengan agensi lain yang turut terlibat dalam pengeluaran logo halal ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :