Haniza Talha menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Strata 2019 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 29 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

JMB, MC disaran wujud suasana harmoni dengan penghuni

SHAH ALAM, 29 OKT: Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) digesa mewujudkan suasana harmoni bersama penghuni kediaman bagi memudahkan sebarang urusan berkaitan.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, kualiti pengurusan bangunan harus mencapai tahap terbaik bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan hidup penduduk di bangunan strata.

“Antara cabaran utama dalam pengurusan bangunan berstrata ialah menyemai corak budaya hidup berkualiti di kalangan penghuni untuk mewujudkan persekitaran hidup berkualiti dan mampan.

“Sekiranya wujud pertikaian atau hubungan tidak baik antara JMB atau MC dan penghuni, pastinya sukar untuk mendapat kerjasama terutamanya kesukaran membuat kutipan bayaran yuran penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Seminar Pengurusan Strata 2019 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam di Hotel Concorde, hari ini.

Haniza Talha (tengah) dan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim bersama peserta ketika Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Strata 2019 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 29 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Hadir sama, Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam serta hampir 200 ahli jawatankuasa JMB.

Haniza berkata, kehidupan di bangunan berstrata membabitkan kehidupan bermasyarakat, berkongsi kemudahan dan infrastruktur.

Katanya, pada masa sama, kesemua penghuni turut mempunyai harta bersama seperti lif, taman, tangki, bumbung dan lain-lain.

“Oleh sebab itu, saya ingin menyarankan supaya JMB atau MC dapat melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dalam soal penyelenggaraan dan pengurusan perumahan strata tanpa terlalu mengharapkan bantuan daripada kerajaan,” katanya.


Pengarang :