AGENDANASIONAL

PLUS tidak dijual, kerajaan risau syarikat tidak jamin hapus tol

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Khazanah Nasional Bhd tidak berminat untuk menjual kepentingannya dalam PLUS Malaysia Bhd (PLUS) walaupun beberapa tawaran telah dikemukakan kepada kerajaan oleh beberapa entiti swasta.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengulangi kenyataan dibuat oleh Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan awal hari ini bahawa badan pelaburan negara itu tidak berminat untuk menjual firma lebuhraya terbesar negara itu.

“PLUS adalah 51 peratus milik Khazanah dan 49 peratus milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kenapa anda mahu menswastakannya?

“Kita tidak mahu membebankan rakyat dan penguna jalan raya, sebab itu dalam manifesto kami, kami akan berbincang dengan semua syarikat-syarikat konsesi secara berperingkat untuk mengurangkan bebanan kepada pengguna jalan raya.

“Tetapi kalau jual PLUS pada pihak swasta yang akan mengenakan tol dan menaikkan kadar tol, dan ia tidak akan memenuhi kehendak manifesto,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Tambahnya, pendirian Khazanah jelas untuk tidak menjual pegangannya di dalam PLUS, kerana apabila PLUS jual kepada pihak swasta, tiada jaminan syarikat tersebut dapat mengurangkan kadar tol atau menghapuskan tol.

“Sudah tentu tidak. Sebab bagi sektor swasta, mereka berorientasikan keuntungan. Syarikat akan beli sesuatu yang boleh beri keuntungan. Bagi pihak kami, ia bukan soal keuntungan. Khazanah dan KWSP mahu beri perkhidmatan kepada pengguna jalan raya.

“Kecuali ada pihak swasta yang mahu beli PLUS dan nak hapuskan tol, good luck kalau boleh dapat,” katanya.

Awal hari ini, Widad Business Group Sdn Bhd telah menaikkan tawaran bagi PLUS dengan tawaran baharu untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat itu bagi RM5.3 bilion.

Termasuk pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang sebanyak RM30 bilion, jumlah nilai perusahaan bagi tawaran itu adalah sebanyak RM38.34 bilion, yang merupakan bidaan tertinggi daripada sektor swasta setakat ini.

Menurut Widad, tawaran yang disemak semula itu juga termasuk pengecualian jaminan sukuk RM11 bilion oleh kerajaan dan opsyen baharu untuk kerajaan membeli balik PLUS selepas 10 tahun berdasarkan nilai pasaran.

– BERNAMA


Pengarang :