Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd Shahzihan Ahmad (kiri) membuat lawatan ke stor penyimpanan selepas Majlis Perasmian Stor Penyimpanan Ekshibit Bahagian Pengurusan Halal di Space U8 Mall pada 27 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Banyak kedai ‘bubble tea’ guna bahan tiada sijil halal

SHAH ALAM, 27 NOV: Lambakan kedai minuman ‘bubble tea’ yang menggunakan bahan tanpa sijil halal berjaya dikesan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ketua Penolong Pengarahnya, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali berkata kebanyakan bahan untuk membuat minuman itu diimport dari Taiwan dan pemeriksaan mendapati ia tidak mempunyai logo halal.

Justeru, beliau memaklumkan pihaknya giat memantau premis berkenaan susulan tindakan mereka yang mengelirukan pengguna khususnya beragama Islam.

Wan Najmiah Wan Mohamad Ali. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Memang tidak dinafikan premis mereka bersih, malah ada yang menggunakan tenaga pekerja wanita Islam bertudung.

“Apabila minuman ‘bubble tea’ itu viral, orang ramai berpusu-pusu (membeli) tanpa mengetahui status halal yang dimiliki,” katanya pada Majlis Perasmian Stor Ekshibit Bahagian Pengurusan Halal di Space U8 di sini hari ini.

Pada masa sama, Wan Najmiah berkata pihaknya sudah mengadakan pertemuan bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya susulan kawasan terbabit paling banyak memiliki premis ‘bubble tea’.

Katanya bagi mengelakkan kekeliruan, MPSJ akan menggalakkan premis yang menjual minuman jenis itu supaya memiliki sijil halal sebelum memohon lesen perniagaan.

“JAIS mendapati ada antara pengusaha mengiklankan minuman mereka dengan perkataan ‘kami menggunakan bahan halal walaupun tidak mempunyai sijil halal’.

“Tindakan pengusaha mempamerkan sijil halal luar negara pada premis masing-masing juga adalah salah kerana ia bukan sijil daripada Malaysia.

“Oleh itu, kami menggalakkan pelanggan untuk membuat aduan sekiranya berlaku hal sedemikian kerana penggunaan perkataan halal sewenang-wenangnya adalah salah,” katanya.

Wan Najimah berkata, setakat ini hanya Tealive dan CoolBlog sahaja mempunyai sijil halal, sementara majoriti pengusaha ‘bubble tea’ yang lain masih gagal mengemukakan permohonan.


Pengarang :