AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Nisbah jenayah indeks di Malaysia bertambah baik

PUTRAJAYA, 27 NOV: Nisbah jenayah indeks bagi 100,000 penduduk di Malaysia pada 2018 bertambah baik kepada 273.8 berbanding 309.7 pada 2017, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Katanya tujuh negeri merekodkan jenayah indeks melebihi paras nasional pada 2018 iaitu Kuala Lumpur (642.6), Selangor (330.8), Negeri Sembilan (327.1), Melaka (303.6), Kedah (287.6), Pulau Pinang (284.6) dan Johor (275.7).

Terengganu pula merekodkan jenayah indeks terendah iaitu 148.4 pada 2018, katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung penerbitan Statistik Jenayah, Malaysia, 2019 buat tahun kedua.

Penerbitan itu membentangkan lima statistik terpilih jenayah yang disediakan berdasarkan data pentadbiran yang diperoleh daripada pelbagai agensi.

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto Jabatan Perangkaan Malaysia

Statistik disusun mengikut International Classification of Crime for Statistical Purpose Version 1.0 yang diterbitkan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata berdasarkan data diperoleh daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), bilangan penagih dadah menurun di Pahang, Perlis, Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam tempoh 2016 sehingga 2018.

Tiga negeri pula iaitu Kelantan, Terengganu dan Sabah mencatatkan trend peningkatan bilangan penagih dadah, katanya.

Bagi jenayah rasuah, Mohd Uzir berkata bilangan kertas siasatan yang dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 merekodkan penurunan 8.0 peratus kepada 766 kes.

Antara kertas siasatan yang dibuka pada 2018 adalah tuntutan palsu 231 kes dan salah guna kedudukan 101 kes, katanya.

Dalam tempoh sama, beliau berkata bilangan tangkapan yang dibuat oleh SPRM meningkat 1.7 peratus dan kesalahan salah guna kedudukan mencatatkan peningkatan tangkapan tertinggi iaitu 72.2 peratus.

-BERNAMA


Pengarang :