Sultan Idris Shah berkenan bergambar ketika Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Kali ke-43 di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 16 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Graduan perlu realisasikan masyarakat madani

SERDANG, 16 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik malah sahsiah serta menyuburkan jiwa kepemimpinan dalam diri masing-masing.

Baginda bertitah, kejayaan yang diraih mereka bukan untuk diri sendiri tetapi untuk generasi akan datang dan akhirnya merealisasikan masyarakat madani.

“Inilah yang membezakan graduan UPM berbanding graduan lain kerana mereka tidak lupa akan sejarah dan sentiasa mempertahankan nilai serta institusi penting untuk memelihara keharmonian negara.

“Graduan juga perlu menjadi pemimpin yang dapat menerajui isu kelestarian sejagat seperti pemuliharaan alam sekitar dan sumber asli,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UPM ke-43, Di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Sementara itu, gelaran Profesor Emeritus dianugerahkan kepada Tan Sri Dr Nik Mustapha R Abdullah daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan serta Datuk Dr Mohd Sham Kasim (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan).

Turut menerima gelaran sama, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Baharumshah (Fakulti Ekonomi dan Pengurusan), Prof Dr Maimunah Ismail (Fakulti Pengajian Pendidikan) dan Prof Dr Wan Ishak Wan Ismail (Fakulti Kejuruteraan).

Dalam konvokesyen itu, UPM mencatatkan sejarah tersendiri apabila merekodkan seramai 6,015 graduan pelbagai program yang berjaya menamatkan pengajian di universiti berkenaan.

Masing-masing terdiri daripada 632 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (1,554), Ijazah Sarjana Muda (3,337) dan Diploma (492).

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah, pendidikan berkualiti adalah teras kelestarian pembangunan negara.

“Dalam hal ini, peranan universiti bukan sahaja menyediakan graduan yang dapat memenuhi pasaran kerja, tetapi melengkapkan dengan kemahiran diperlukan.

“Ini bagi memastikan graduan menjadi individu aktif, bertanggunjawab, beradab, beramanah dan menjunjung tinggi tatacara kehidupan insaniah,” titah baginda.


Pengarang :