AGENSISELANGOR

Graduan UNISEL perlu jadi duta kepada masyarakat

BESTARI JAYA, 30 NOV: Graduan Universiti Selangor (UNISEL) perlu memanfaatkan pengalaman menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi itu supaya mereka mampu menjadi duta dalam kalangan masyarakat selepas meninggalkan kampus itu.

Canselornya, Tan Sri Raja Arshad Raja Uda berkata, graduan yang bakal menjadi alumni UNISEL juga perlu mengelak daripada terjebak dengan kelakuan buruk bagi memudahkan mereka memposisikan diri dengan masyarakat.

“Saya mahu graduan yang menamatkan pengajian di sini akan terus merapatkan hubungan dengan UNISEL walau di mana jua mereka berada dan apa sahaja pekerjaan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UNISEL Ke-14, di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Raja Arshad berkata, graduan seharusnya terus berganding bahu mencurahkan pengalaman masing-masing dalam memastikan universiti berkenaan terus maju melahirkan graduan berikutnya.

“Dalam konteks ini, rasa kepunyaan yang tinggi terhadap UNISEL sebagai medan graduan menggali ilmu amat penting.

“Kita harus melihat dan belajar daripada pengalaman universiti tersohor dunia seperti Harvard, Cambridge, Oxford, Yale dan lain-lain kerana graduan universiti berkenaan tidak terus meninggalkan alma mater mereka,” katanya.


Pengarang :