AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Isu alam sekitar antara paling sukar diselesaikan

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Dengan hampir satu pertiga daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) mempunyai kaitan dengan alam semula jadi, isu alam sekitar dianggap antara yang paling mencabar untuk diselesaikan, selain ekonomi dan masyarakat.

Menurut Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, Stefan Priesner terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan pembangunan yang menggabungkan pertumbuhan ekonomi dengan pengurangan pelepasan karbon, dalam kata lain ekonomi decarbonised (ekonomi berdasarkan sumber kuasa karbon rendah).

Ini mencerminkan keadaan di kebanyakan negara membangun, yang Priesner menyatakan ekonomi yang semakin meningkat telah mengakibatkan lebih banyak pelepasan karbon daripada mengurangkannya.

“Kami melihat isu-isu besar seperti degradasi biodiversiti dan isu seperti hutan hujan, lautan, krisis plastik, penggunaan baja berlebihan dan isu terbesar, perubahan iklim.

“Sebab itu tindakan alam sekitar sangat penting untuk dicapai dalam SDG. Saya boleh katakan, di peringkat global, matlamat ke-13 (tindakan iklim) kini paling terkebelakang,” katanya ketika ditemui di Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2019 di sini,  semalam.

Dari segi pemeliharaan biodiversiti, Priesner memuji Malaysia kerana menjalankan kerja yang baik. Bagaimanapun, beliau berkata. terdapat pelbagai aspek lain yang perlu ditangani, seperti pengurangan hutan hujan yang merupakan kerugian aset yang besar bagi Malaysia.

“Jadi saya menyeru semua negara di dunia, terutama Malaysia, agar memberi tumpuan kepada pemuliharaan hutan hujan dan hidupan liar. Kita tidak tahu bagaimana ini akan menjejaskan keseluruhan pembangunan kita,” tambah beliau.

Sementara itu, Naib Pengerusi Kumpulan Kerja II Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), Prof Dr Joy Jacqueline Pereira berkata, Malaysia perlu mengurangkan penggunaan minyak dan gas dalam memastikan peningkatan suhu global dalam lingkungan 1.5 darjah celsius untuk mengelakkan bencana global yang melampau pada masa depan.

Bercakap semasa sesi pleno sidang kemuncak mengenai Mengimbangi Pertumbuhan Ekonomi dengan Kelestarian Alam Sekitar, beliau berkata, negara perlu menangani perubahan iklim bagi mengurangkan risiko pemanasan global.

Pada Sidang Kemuncak Tindakan Iklim 2019 September lalu, Setiausaha Agung PBB, António Guterres bercakap tentang mengawal kenaikan suhu global pada paras 1.5 darjah celsius antara tahun 2030 dan 2052.

Di bawah Perjanjian Paris empat tahun lalu, 195 negara bersetuju untuk mengawal suhu di bawah 2 darjah Celsius dengan 1.5 darjah Celsius sebagai sasaran, atas desakan negara kepulauan kecil yang berdepan dengan ancaman tenggelam di bawah paras laut akibat peningkatan pemanasan global.

Sempena sidang kemuncak SDG dua hari itu, lebih 2,000 peserta terdiri daripada pakar industri, ahli akademik, masyarakat awam dan pihak swasta telah menunjukkan sokongan untuk sidang kemuncak sidang sulung ini.

Sidang kemuncak yang bertemakan ‘Mempercepat Kemajuan SDG: Pendekatan Seluruh Negara’ itu, akan menyumbangkan idea dan strategi ke arah pencapaian Agenda 2030 untuk pembangunan lestari serta memperkasakan perkongsian melalui pendekatan seluruh negara dalam mencapai SDG.

– BERNAMA


Pengarang :