AGENDABERITA UTAMAJENAYAH

Jho Low tiada di UAE – KPN

JERANTUT, 1 NOV: Dakwaan kononnya ahli perniagaan dalam buruan Jho Low berada di Emeriah Arab Bersatu (UAE) adalah pembohongan dan kisah dongeng, tegas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, adalah tidak lojik dan mustahil untuk seorang yang terkenal kerana menjadi buruan banyak negara dan terlibat dalam jenayah yang disifatkan sebagai ‘jenayah abad ini’ boleh memasuki UAE dengan mudah.

UAE mempunyai sistem keselamatan yang ketat termasuk kawalan di lapangan terbang, selain pihak berkuasa di sana menjalin kerjasama yang baik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya tidak tahu siapa yang originated cerita ini dan saya berminat untuk berjumpa dengan orang ini. Saya ingin katakan kita tahu keberadaan Jho Low tetapi ada pihak yang melindunginya…, berikan saya sedikit masa.

“Saya tak akan menghentikan usaha menjejak dan membawa balik penjenayah ini. Jika dia bukan penjenayah atau dianiayai, tak perlu takut dan sila balik. Saya beri jaminan dia akan mendapat layanan mengikut undang-undang,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontinjen Pahang kepada 199 pegawai dan anggota dari Jerantut, Lipis dan Raub di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, Ketua-ketua Jabatan Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan Ketua-ketua Polis Daerah negeri ini.

Abdul Hamid diminta mengulas dakwaan laporan sebuah portal berita semalam, yang mendakwa Jho Low yang dikaitkan dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berada di UAE dan banyak bergerak antara Timur Tengah dan Eropah sejak Jun lepas.

Beliau juga memberi jaminan bahawa rundingan membawa pulang Jho Low yang juga anak jati Pulau Pinang masih dilakukan secara ‘polis-ke-polis’, selain mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

“Saya sudah beritahu akan berusaha bawa balik (Jho Low) sebelum akhir tahun ini dan jika gagal, saya akan akui perkara itu bersama dengan penjelasan mengapa saya gagal. Tapi (jika itu berlaku) ia bukan disebabkan saya kurang berusaha,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :