Memorandum persefahaman (MoU) antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkhidmatan Pencen Nasional Korea Selatan (NPS) disaksikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 21 November 2019. Foto FB KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA
AGENDANASIONAL

KWSP meterai MoU dengan dana pencen Korea Selatan

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perkhidmatan Pencen Nasional Korea Selatan (NPS) bagi memperoleh akses kepada amalan terbaik dalam bidang perlindungan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, usaha sama itu juga akan meggalakkan perkongsian pengetahuan dalam pengurusan sistem pencen.

“Kerjasama ini memberi peluang kepada kami untuk memanfaatkan kumpulan pakar global selain mengenal pasti penyelesaian daripada perspektif yang berbeza,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu yang disaksikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Tunku Alizakri menandatangani MoU itu bagi pihak KWSP manakala NPS diwakili oleh Pengerusi dan CEOnya, Sung Joo Kim.

KWSP berminat untuk memanfaatkan kemahiran dan inisiatif baharu dari rakan serantau dalam menangani penuaan selain penduduk yang bekerja sendiri, kata Tunku Alizakri.

“Memandangkan Malaysia mahu menjadi negara maju, kita perlu melihat model terbaik untuk memperoleh strategi baharu dalam menangani isu-isu sosial seperti peningkatan ekonomi bebas dan penduduk yang semakin tua.

“Usaha sama ini menetapkan komitmen proaktif kami untuk menangani isu-isu berkaitan kesejahteraan pencarum,” katanya.

Ditubuhkan pada 1987, NPS merupakan antara dana pencen terbesar di dunia dengan jumlah aset dalam pengurusan sebanyak AS$600 bilion dan 21 juta pencarum wajib.

– BERNAMA


Pengarang :