Penguat kuasa MPS ketika serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Perindustrian KIP, Kepong pada 27 November 2019. Foto Ihsan MPS
PBTSELANGOR

Pusat hiburan, snuker diserbu MPS

SELAYANG, 29 NOV: Sebuah premis hiburan dan pusat snuker di bandar ini disita Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas dikesan menjalankan perniagaan tanpa lesen dalam Ops Bersepadu Hiburan, kelmarin.

Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, beliau mengetuai operasi besar-besaran bermula jam 9 malam dengan kekuatan 60 anggota penguat kuasa.

Katanya, operasi pertama membabitkan pusat hiburan di Taman Perindustrian KIP, Kepong dan disusuli pusat snuker di Rawang Walk.

“Kita menyita 54 meja, 77 kerusi, seunit dj audio, dua unit televisyen, 400 unit bola snuker dan empat unit mesin dart dalam talian serta pelbagai peralatan lain.

“Tindakan sitaan dibuat selaras dengan Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, katanya, sebuah pusat snuker di Taman Perindustrian KIP, Kepong turut dikenakan kompaun RM25,000 kerana kesalahan membuka pusat snuker tanpa lesen.

Shamsul berkata, operasi itu adalah sebagai amaran daripada pihak berkuasa tempatan yang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen.

Katanya, pihaknya akan melaksanakan operasi secara lebih kerap memandangkan banyak pusat hiburan masih degil walaupun sudah beberapa kali diambil tindakan.

“Operator pusat hiburan tidak boleh memulakan operasi perniagaan meskipun permohonan untuk mendapatkan lesen sudah dihantar ke MPS.

“Pusat hiburan ini perlu mendapatkan lesen daripada MPS bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil,” katanya.


Pengarang :