Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

373 warga China didakwa tanpa pas sah

SEPANG, 13 DIS: Sebanyak 373 daripada 680 warga China yang ditahan dalam serbuan Imigresen di premis yang disyaki menjalankan operasi jenayah dalam talian di Cyberjaya pada 20 November lepas, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, di sini atas pertuduhan berada di negara ini tanpa pas yang sah.

Pertuduhan terhadap kesemua 373 orang kena tuduh (OKT) itu dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh empat jurubahasa daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Kesemua mereka yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 7.30 pagi, dibawa masuk ke bilik mahkamah untuk dibacakan pertuduhan secara berperingkat membabitkan 40 orang dalam setiap kumpulan.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah yang berlangsung lebih tiga jam itu, sebanyak 321 daripada 373 OKT berkenaan mengaku bersalah, dengan 290 daripada mereka dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkap.

Sementara 31 orang lagi dikenakan denda RM5,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu serta diusir pulang ke negara asal.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan tidak lebih enam sebatan jika sabit kesalahan.

Tuduhan terhadap 52 OKT lagi akan disebut semula pada 10 Januari depan untuk semakan ketelusan pasport. Kesemua mereka akan ditempatkan sementara di depot Imigresen Bukit Jalil.

Pendakwaan dilakukan oleh pasukan pendakwa JIM diketuai Pegawai Pendakwa V Kasthuri Bai.

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKT yang ditahan pada 3.30 petang, 20 November lepas di Wisma Mustapha Kamal, Cyberjaya didapati telah memasuki dan berada di negara ini tanpa pas yang sah.

Pada 20 November lepas, Jabatan Imigresen menyerbu sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya kerana disyaki menempatkan ahli sindiket penipuan dalam talian, di mana 680 warga China ditahan, manakala lebih 100 orang lagi berjaya melarikan diri.

– BERNAMA


Pengarang :