Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong berangkat lawat Abu Dhabi National Oil Company

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC), pada Sabtu.

Keberangkatan tiba Seri Paduka di ibu pejabat ADNOC, Corniche Road pada pukul 3.00 petang, disambut Menteri Dalam Negeri (Minister of State) Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC, Dr Sultan Ahmed Al Jaber dan barisan pengurusan tertinggi syarikat itu.

Seri Paduka diiringi Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh; Duta Malaysia ke UAE, Mohd Tarid Sufian dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin serta pegawai-pegawai kanan Petronas dan Istana Negara.

Menurut kenyataan Istana Negara, dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah diberi taklimat objektif penubuhan dan operasi ADNOC oleh Dr Sultan Ahmed Al Jaber dan pegawai-pegawai pengurusan tertinggi syarikat itu.

ADNOC ialah syarikat minyak dan petrokimia nasional Abu Dhabi dan merupakan syarikat pengeluar minyak ke-12 terbesar di dunia dengan jumlah pengeluaran 3 juta tong minyak sehari.

Lawatan itu adalah antara atur cara Seri Paduka sempena lawatan peribadi empat hari ke Abu Dhabi. Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Abu Dhabi pada Sabtu.

Pada lawatan itu, Seri Paduka turut berkenan menerima sembah taklimat penubuhan dan operasi Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence (MBZUAI), serta kursus-kursus yang ditawarkan universiti itu oleh Dr Sultan Al Jaber, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MBZUAI.

MBZUAI ditubuhkan pada Oktober lepas dan pada masa ini beroperasi di ADNOC.

Lawatan Seri Paduka berdua ke Abu Dhabi adalah di atas jemputan peribadi dan sebagai tetamu khas Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, bersempena perlumbaan Formula One Etihad Airways Abu Dhabi Grand Prix 2019, pusingan akhir musim ini yang berlangsung hari ini di Yas Marina Circuit, Yas Island.

Pada Isnin, Seri Paduka berdua dijadual berangkat menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan UAE di Zayed Sports City dan diikuti dengan majlis pertemuan semula (reunion) Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom yang dianjurkan oleh Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

– BERNAMA


Pengarang :