Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu ketika berucap pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC, Shah Alam pada 6 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Buka demokrasi, PAKATAN ‘mangsa kejayaan diri sendiri’?

SHAH ALAM, 6 DIS: Keterbukaan Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam membuka ruang besar demokrasi kepada pembangkang dan media dianggap menjadi `mangsa kepada kejayaan sendiri’.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata, ini kerana pembangkang telah menggunakan peluang demokrasi itu dengan menghentam kerajaan PAKATAN secara teruk ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada bulan lalu.

“Ketika PRK Tanjung Piai berlangsung, kedua-dua pihak iaitu parti kerajaan dan pembangkang dibenar berkempen secara bebas di media massa.

“Dari satu segi, umum melihat kita adalah ‘mangsa kejayaan kita sendiri’ kerana terlalu terbuka sehingga pembangkang mengambil peluang menghentam kita dengan teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pidato Presiden di Konvensyen AMANAH, di Pusat Konvensyen IDCC, di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bersalam dengan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu ketika Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC, Shah Alam, pada 6 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Konvensyen itu turut dihadiri Pengerusi PAKATAN Selangor, Amirudin Shari yang juga Dato’ Menteri Besar negeri ini.

Katanya, sebagai kerajaan, pihaknya telah melaksanakan urus tadbir negara dengan baik malah proses semak imbang amat telus apabila terus mengekalkan ahli parlimen pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Selain itu, katanya, kerajaan juga telah mengotakan janji seperti memberikan royalti minyak kepada semua negeri termasuk negeri pembangkang.

Mohamad Sabu berkata, semua pendekatan itu telah memberi kelebihan kepada kerajaan PAKATAN yang membuktikan demokrasi itu matang serta dinamik.

“PAKATAN adalah kerajaan yang berani berdepan kritikan dan teguran secara terbuka.

“Hal itu bertepatan dengan iltizam dan janji PAKATAN untuk berlaku adil kepada semua pihak termasuk pembangkang,” katanya.

Katanya, PAKATAN tidak akan mengulangi kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak membuka ruang kepada media dan demokrasi yang telus kepada seluruh rakyat ketika mereka memerintah.

Pada masa sama, beliau berkata, PAKATAN terus komited untuk membersihkan kementerian daripada penyelewengan kerajaan terdahulu dan seterusnya memperoleh kembali wang yang diseleweng.

“Biarpun ada pihak yang menganggap kita hanya tahu mencari kesalahan kerajaan terdahulu, tetapi dengan siasatan dan tindakan ini, kita berjaya mengembalikan wang rakyat dan aset penting yang hampir tergadai akibat amalan rasuah di bawah BN.

Bagaimanapun, katanya, kita memahami perubahan-perubahan yang telah dilakukan belum memadai khususnya bagi mereka yang telah menunggu 60 tahun di bawah pemerintahan BN.

“Namun ini adalah kejayaan-kejayaan yang berlaku dalam tempoh belum sampai dua tahun PAKATAN memerintah, namun ia adalah permulaan kejayaan yang sangat besar,” katanya.


Pengarang :