AGENDANASIONAL

Jawatankuasa khas ekonomi gig elak pekerja dieksploitasi

ALOR SETAR, 1 DIS: Jawatankuasa khas yang ditubuh kerajaan bagi merangka penyelesaian jangka panjang isu berkaitan ekonomi gig akan menumpukan kepada usaha untuk menjaga kebajikan pekerja terlibat dan mengelakkan mereka dieksploitasi oleh majikan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain mengelakkan sebarang unsur penganiayaan kepada pekerja, jawatankuasa itu akan mencari jalan bagi mewujudkan situasi ‘menang-menang’ antara pekerja dan majikan.

“Rundingan antara kementerian terlibat ini masih sedang dijalankan dan sehingga kini, kita masih belum ada kesimpulan yang boleh dibuat.

“Tetapi, kita akan cuba sebaik mungkin untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan pekerja dalam sektor ini tidak dieksploitasi oleh majikan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengayaan Buruh dan Profesionalisme (LEAP), di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah kerajaan untuk melindungi kebajikan pekerja yang terlibat dalam ekonomi gig dan mengelakkan isu yang membabitkan pekerja sebuah syarikat penghantaran makanan sebelum ini, berulang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu yang dianggotai Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ekonomi gig merujuk kepada kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh seseorang individu dengan cara menjual perkhidmatan kepada orang lain dan dijalankan sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.

Mengulas mengenai seminar LEAP yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd itu, Mahfuz berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan tahap profesionalisme pekerja.

“Seminar ini bagi mempersiapkan pekerja dengan perubahan persekitaran pekerjaan selain memastikan pekerjaan mereka terus kekal relevan walaupun berlaku perubahan arus perdana teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :