AGENSISELANGOR

Penduduk mahu jajaran LRT 3 di Seksyen 7 diubah

SHAH ALAM, 1 DIS: Penduduk di kejiranan Seksyen 7 di sini melahirkan rasa bimbang dengan pembinaan jajaran laluan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang akan melalui padang permainan kawasan perumahan mereka akan membahayakan penduduk terutamanya kanak-kanak yang bermain di taman itu.

Setiausaha Persatuan Penduduk Plumbum 101 dan 103, Puan Nadzrifah Maarof berkata, laluan LRT 3 di dalam kawasan perumahan itu akan mengundang bahaya kepada penduduk kerana dibina berdekatan dengan kawasan perumahan mereka.

“Laluan LRT 3 ini akan memasuki padang permainan dan saya bimbang dengan keselamatan kami sebagai penduduk, kami tidak menentang pembangunan LRT 3 cuma kami mahu jajaran dialihkan sedikit agar ia tidak memasuki kawasan perumahan.

“Bayangkan jajaran LRT 3 diatas dan padang permainan di bawah, bagaimana dengan keselamatan anak kami. Jadi kami harap mereka buat jajaran semula kerana saya tahu perkara ini boleh diselesaikan dengan baik dan pembangunan boleh diteruskan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Prof Hadariah Bahron, 52, berkata, pembinaan jajaran LRT 3 masih boleh diteruskan kerana terdapat dua laluan alternatif yang dicadangkan namun ia tidak dilaksanakan.

“Dua minggu lepas kami menerima notis dari Pejabat Tanah menyatakan tembok yang menjadi pemisah antara taman permainan dan jalan besar dibina di atas tanah yang bukan milik kami. Kami diminta untuk merobohkannya dan jika tidak kami akan didenda.”

“Jadi perkara ini adalah salah kerana kami sebagai penduduk telah membeli hartanah di sini dan mereka menjanjikan kawasan ini sebagai kawasan permainan anak-anak kami. Bila mereka buat begini saya rasa tertipu,” katanya.

Projek LRT3 sepanjang 37 kilometer yang dirancang melalui beberapa kawasan dalam bandar raya Shah Alam akan bermula dari Bandar Utama hingga ke Johan Setia, Klang dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun lagi.

Laluan yang hanya mengambil masa 58 minit waktu perjalanan itu akan dilengkapi 26 stesen dan dijangka memberi manfaat kepada lebih dua juta rakyat di koridor barat Lembah Klang.

– BERNAMA


Pengarang :