AGENDANASIONAL

MBM: Perhalusi semula keputusan mansuh elaun kritikal doktor

SHAH ALAM, 26 DIS: Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia supaya memperhalusi semula keputusan pemansuhan elaun kritikal kepada doktor dan petugas kesihatan kerajaan lantikan baharu.

Presidennya, Jufitri Joha berkata pemansuhan itu dikhuatiri mengganggu prestasi dan motivasi kerja doktor serta petugas kesihatan yang kebanyakan dalam kalangan anak muda.

Katanya hal itu akan mendorong profesional kesihatan untuk beralih arah ke sektor swasta atau menceburi pekerjaan lain yang lebih memberi pulangan.

“Tambahan pula, dewasa ini kita berhadapan kos sara hidup yang tinggi, kenaikan harga barang mentah dan ketidakstabilan harga minyak.

“Elaun kritikal sangat wajar diperuntuk kepada petugas kesihatan kerana skop kerja mereka ini tidak putus berhadapan kes kritikal yang mengancam nyawa juga insiden kemalangan tempat kerja (tercucuk jarum, berjangkit sakit daripada pesakit yang dirawat),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jufitri berkata kebajikan doktor dan petugas kesihatan perlu dibela sebaiknya memandangkan tugas mereka tidak tertakluk kepada waktu selain hospital serta klinik yang berfungsi 24 jam.

“Doktor, jururawat dan paramedik harus bekerja secara sistem syif atau ‘on call’, bahkan jumlah jam kerja mereka per minggu juga lazimnya lebih tinggi berbanding profesion lain.

“Ini memberi impak tinggi pada kualiti kehidupan juga keseimbangan waktu kerja seseorang doktor dan petugas kesihatan,” katanya.

Semalam, tular berita pemansuhan elaun kritikal antara lain membabitkan bidang perubatan sehingga menimbulkan kegusaran penjawat awam.

Penamatan elaun itu dirujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 yang dikeluarkan pada 20 Disember 2019.

Sebanyak lapan jenis elaun penjawat awam akan dihapuskan antaranya Bayaran Insentif Angkat Najis, Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Keraian kepada Setiausaha Sulit dan Setiausaha Sulit Kanan serta beberapa elaun lagi.


Pengarang :