Selangorkini
PBT SELANGOR

MBPJ tumpu 14 lokasi panas cegah denggi

PETALING JAYA, 10 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya mengenal pasti 14 lokasi panas bagi menangani kes denggi di kawasan pentadbirannya.

Unit kawalan vektornya berkata tindakan pengawasan berterusan dijalankan bagi mengatasi masalah itu berikutan kes terbabit agak tinggi di sini termasuk di peringkat negeri.

Katanya, kawasan tumpuan itu adalah di PJU 1A (Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar Lembah Subang), PJU 9 SD 3, PJU SD 12, PJU 10, SS 2, SS 6, SS 7, SS 20, Seksyen 17, 20, 51 A, PJS 2C (Pangsapuri Medan Cahaya), PJS 2B (Pangsapuri Desa Mentari) dan PJS 5 (Pangsapuri Desa Ria).

“Sebanyak 130,000 kes denggi direkodkan di seluruh negara tahun lalu iaitu dua kali ganda berbanding 78,066 kes pada 2018 dan daripada jumlah itu, Selangor menyumbang separuh daripada keseluruhan kes.

“Manakala Petaling merupakan daerah dengan kes denggi tertinggi di negeri ini,” katanya.

Selangor mencatatkan kes denggi tertinggi dengan 2,828 kes sejak 29 Disember tahun lalu hingga 8 Januari, menurut statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan Kementerian Kesihatan.

Ia merekodkan 303 kes pada 8 Januari lalu iaitu ketiga tertinggi selepas Johor (346) dan Kuala Lumpur (326).

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai mengambil langkah pencegahan dan kawalan supaya aliran pertambahan kes denggi dapat dibendung.


Pengarang :