AGENSISELANGOR

Peserta larian Tanjong Karang bakal dijamu kelapa muda

SHAH ALAM, 6 JAN: Seramai 2,000 peserta dijangka menyertai ‘Larian Tujuh Kilometer (KM) Tanjong Karang’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun, pada 29 Februari depan.

Program julung kali anjuran Alumni SMK Dato Harun itu mendapat kerjasama Persatuan Gabungan Bekas Sukarelawan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (VKL17) Malaysia yang mempunyai pengalaman dalam menjayakan beberapa acara sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Perunding Program, Mahidi Salleh berkata peserta yang mengambil bahagian bakal mendapat pengalaman merentas pekan, kampung dan pantai di daerah terbabit.

“Menariknya peserta larian akan diberi air kelapa muda segar percuma di garisan penamat,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya acara berkenaan terbuka bagi katogeri lelaki dan wanita (13 tahun dan ke atas) serta veteran lelaki dan wanita (40 tahun dan ke atas) dengan bayaran masing-masing RM60.

“Sebahagian yuran penyertaan akan disalurkan kepada dana sekolah untuk pelbagai aktiviti dan baik pulih prasarana sekolah terbabit,” katanya.

Peserta juga diberi kemeja T jenama Ultron, medal dan sijil. Tiga peserta terbaik bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM400 (pertama), kedua (RM200) dan ketiga (RM100).

Katanya bagi memenuhi permintaan ramai, pihaknya menyediakan kategori ‘Fun Run’ lima kilometer terbuka untuk semua dengan bayaran RM40 setiap orang.

“Bagaimanapun, `Fun Run’ tidak ada air kelapa percuma dan hadiah podium. Peserta akan menerima kemeja T, medal, sijil penyertaan dan sarapan ringkas,” katanya.

Difahamkan, program itu akan disertai Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.


Pengarang :