Pegawai perubatan memeriksa seorang pesakit yang dijangkiti Covid-19 di sebuah hospital di Zouping, China pada 28 Januari 2020. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Debaran pelajar Sarawak tunggu `diselamat’ dari Wuhan

SIBU, 1 FEB: Ivan Yeo Zhi Yu, 19, mahasiswa dari Bintulu yang terkandas di Universiti Geosians China di Wuhan angkara penularan koronavirus 2019 cuba untuk bertenang dan tidak mahu terlalu memikirkan musibah yang melanda bandar yang didiaminya itu.

Sungguhpun terpaksa berkurung di bilik asrama sejak Tahun Baharu Cina bukan sesuatu yang mudah, beliau sentiasa melakukan sesuatu bagi mengisi waktu dan bersedia meninggalkan negara itu bersama rakan satu universiti yang ditaja kerajaan Sarawak, Balachandar Subramaniam, 43, yang berada di sana bersama isteri serta dua anak mereka.

“Sebenarnya ia adalah rutin yang sama setiap hari … bangun, cari berita terkini dan membaca buku-buku, makan. Sekali-sekala saya melihat keluar tingkap tetapi tidak ada sebarang aktiviti,” katanya ketika ditanya Bernama melalui Messenger.

Beliau berkata hampir tidak terdapat sesiapa di luar asrama tempat beliau tinggal kerana lebih daripada 200 pelajar asing yang tidak pergi ke mana-mana semasa cuti perayaan telah diberitahu oleh pegawai universiti supaya tinggal di bilik masing-masing.

Para pegawai akan datang untuk mengemas kini apa-apa maklumat tentang penyakit itu dan pekerja datang untuk membersihkan kawasan awam di dalam dan di luar universiti.

Wuhan berada dalam keadaan terkunci dengan orang ramai yang diberitahu agar tetap berada di dalam rumah dan semua mod pengangkutan masuk dan keluar dari bandar dihentikan sejak 22 Januari untuk menyekat penularan wabak itu.

“Untuk makanan dan minuman, kami perlu uruskan sendiri. Bagaimanapun, mereka membekalkan kami penutup hidung dan mulut,” kata lulusan Sarjana Muda Geografi dan Sains Alam Sekitar itu.

Ditanya banyak mana bekalan makanan yang beliau ada, Ivan berkata bekalan seperti susu dan mi segera cukup untuk 15 hari dan beliau akan berhemah sementara menunggu bantuan.

“Sebenarnya pihak Kedutaan Malaysia cuba menghantar makanan dan bekalan lain tetapi tidak dapat melakukannya kerana pengangkutan disekat.

“Saya menerima khabar kerajaan mempunyai rancangan untuk memindahkan kami. Harap semuanya berjalan lancar,” katanya.

Ivan serta Balachandar dan keluarga adalah antara 78 rakyat Malaysia di Wuhan yang cuba dibawa pulang oleh kerajaan.

Ivan sentiasa menghubungi keluarganya bagi memberi maklum balas terkini mengenai keadaan di sana.

Beliau juga menghubungi Balachandar setiap hari melalui WeChat.

“Beliau bimbang sekiranya keadaan menjadi bertambah teruk,” katanya.

Balachandar, seorang pelajar PhD tinggal di universiti itu bersama isteri serta dua anaknya.

Balachandar yang bekerja di Sarawak sejak tahun 2003 adalah seorang ahli geokimia dengan Jabatan Mineral dan Geosains dijangka melengkapkan PhDnya dalam Geofizik pada September ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata bahawa pegawai Malaysia telah berbincang dengan China mengenai pemindahan 78 warga yang kini berada di Wuhan.

— BERNAMA


Pengarang :