AGENDANASIONAL

Dua warga Eropah hilang dalam hutan kawasan Orang Utan di Sarawak

KUCHING, 28 FEB: Dua pelancong Eropah dilaporkan hilang di dalam kawasan hutan dihuni Orang Utan di Pusat Hidupan Liar Semenggok, kira-kira 25 kilometerdari sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri Sarawak memaklumkan laporan kehilangan itu dibuat seorang petugas pusat hidupan liar itu setelah kedua-dua lelaki berkenaan didapati tidak keluar dari kawasan itu selepas ditutup pada 4.30 petang tadi.

“Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dengan bantuan pasukan K9 (unit anjing pengesan) telah memulakan operasi mencari dan menyelamat kedua-dua pelancong lelaki berkenaan,” menurut PGO dalam kenyataan.

Maklumat awal diperoleh menyatakan kedua-dua lelaki itu tiba di pusat tumpuan pelancong popular itu kira-kira pukul 8.00 pagi tadi namun mereka tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai tiket.

“Ini telah mencetuskan pertengkaran mulut di antara beberapa petugas di pusat itu dengan kedua-dua lelaki berkenaan, namun mereka akhirnya dibenarkan masuk selepas beberapa pelancong lain yang berada di situ membantu membayar tiket mereka,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehingga pukul 8.00 malam ini, operasi itu masih belum menjumpai kedua-dua lelaki berkenaan.

Pusat Hidupan Liar Semenggok yang baru-baru ini meraih Anugerah Pelancongan Cemerlang Dunia 2020 di bawah kategori Program Pelancongan Mampan diwujudkan dalam sebuah kawasan hutan semula jadi yang dikatakan memiliki lebih 1,000 hidupan liar, khususnya Orang Utan.

Ia telah dibuka kepada orang ramai sejak tahun 1975 dan menjadi daya tarikan pengunjung dan pelancong asing ke negeri ini.

– BERNAMA


Pengarang :