GM Korea mempunyai tiga kilang – dua di Incheon dan satu di Changwon. Kapasiti keluaran ketiga-tiga kilang berkenaan sekitar 600,000 unit. Foto: YONHAP
AGENDA GLOBAL

GM Korea henti sementara pengeluaran akibat kurang peralatan

SEOUL, 12 FEB: GM Korea Co, syarikat subsidiari General Motors Co. Korea Selatan, berkata syarikat menggantung sementara pengeluaran satu daripada tiga kilang pemasangan kereta ekoran kekurangan peralatan dari China, lapor agensi berita Yonhap.

Kilang utamanya di Bupyeong, Incheon, di barat Seoul, ditutup pada 17 dan 18 Februari kerana kekurangan peralatan termasuk wayar kabel abah-abah, yang merupakan komponen utama bagi pelbagai model kenderaan, kata pegawai syarikat.

Langkah itu menyebabkan pengeluaran kenderaan utiliti sukan Trailblazer, model utama jenama Chevrolet mengalami gangguan.

GM Korea mempunyai tiga kilang – dua di Incheon dan satu di Changwon. Kapasiti keluaran ketiga-tiga kilang berkenaan sekitar 600,000 unit.

Pada 2018, syarikat itu menutup kilang di Gunsan disebabkan kadar penggunaan yang rendah.

Kekurangan bekalan itu akibat langkah pihak berkuasa China menggesa syarikat pengeluar menghentikan operasi sehingga 9 Februari, seminggu selepas berakhirnya cuti Tahun Baru Cina, untuk menyekat penularan wabak koronavirus 2019.

Virus itu telah meragut lebih 1,100 nyawa di China.

-BERNAMA


Pengarang :