BUDAYARENCANA

Hari tanpa kepala

 Oleh Tramizi Hussin

 

SAYA patut mulakan dengan sesuatu yang luar biasa.

Misalnya, pagi tadi saya bangkit tanpa kepala selepas matahari hampir membuka separuh matanya.

Saya gagau telefon bimbit, walaupun saya maklum benar yang tidak pernah ada mesej diterima selain daripada kumpulan borak “Geng Encik Bos” yang terpaksa saya bisukan selepas setiap kali habis waktu bekerja. Setengah jam di atas tilam, membuka media sosial yang sepi sapaan dan membaca berita terkini pagi hari yang saya cuba ambil peduli. Bagaimana saya melihat semua itu tanpa mata yang letaknya di kepala? Saya tidak pasti.

Waktu saya berdiri di depan cermin di dalam bilik air, mengelak mata bertemu bayangan sendiri, saya masih tidak sedar saya sudah tidak berkepala. Hanya waktu saya ingin menggosok gigi, barulah saya sedar mulut sudah tiada. Bukan sekadar mulut, tetapi juga seluruh kepala. Yang tinggal hanyalah leher dengan halkum bergerak naik turun. Sesak.

Saya kejur, bagaimana hendak hadapi dunia? Tidak, saya tidak rindukan kepala berwajah saya itu. Apalah yang hendak dirindukan kepada wajah bukan hero filem? Orang tidak berupa tidak patut melihat cermin selepas bangun tidur.

Anehnya, saya masih boleh melihat walaupun tidak bermata. Di cermin, leher berlapis lemak saya masih berombak mengagau nafas dan berusaha menahan tarikan graviti daripada menariknya lembik ke bahu. Saya masih boleh menghidu bau nasi lemak ditanak jiran sebelah dan saya masih mendengar anjing mengggonggong di luar rumah.  Adakah saya sudah jadi amoeba yang tidak perlukan organ?

Terlalu banyak pertanyaan pagi hari adalah perkara yang memenatkan. Jadi saya teruskan mandi membasuh badan tanpa kepala.

Saya mahu minta cuti hari ini. Tetapi, cuti tahunan sudah habis, mahu ambil MC adalah penyeksaan kerana pintu klinik terhampir rumah saya terpampang poster Dr Mahathir tersengih dengan tulisan Comis Sans besar warna merah darah: “Saya 93 tahun masih bekerja, awak mahu minta MC?”

Jadi, saya terus bersiap untuk bekerja. Keluar bilik, teman serumah sedang berlari-lari anak keliling ruang tamu. Dia mahu sihat untuk hidup seribu tahun lagi, saya tidak mahu. Di rumah bujang, kami mengelak bertembung muka di awal pagi, sesuatu yang tidak mengasyikkan untuk dipandang. Jadi, dia tidak sedar saya sudah tidak berkepala.

Kerana saya tidak berkepala, saya tidak memandang ke bawah, juga tidak mendongak ke atas di pejabat. Saya hanya memastikan leher stabil dan tidak terlesu di bahu.

Bos saya masuk kerja dengan marah-marah, menjerkah: “Mana otak kau? Buat kerja macam ni!”

Saya hanya tegakkan leher tanpa kepala.

Selepas itu, tiada siapa lagi yang menganggu. Seperti lipas, orang tidak halau kerana bimbang terbang mengacau, tetapi juga tidak hampir kerana kotor. Lipas boleh hidup tanpa kepala selama seminggu. Mungkin juga saya boleh.

Saya patut mulakan dengan sesuatu yang luar biasa.

Misalnya, di stesen KL Sentral selepas habis kerja, walau sudah sepuluh buah gerabak berlalu, saya masih tidak berganjak.

Saya menunggu Dia. Saya tidak berkepala, tetapi saya masih berdada yang dalamnya ada jantung berdegup kencang. Hati saya masih berdiam menjalankan kerjanya supaya saya tidak jadi manusia kuning tanpa kepala.

Dia selalu muncul tepat jam enam petang, menunggu di platform yang sama dengan saya. Bertahun, saya setia menanti tetapi tidak sekalipun bertegur.

Saya turun di stesen sebelum Dia, saya tidak pasti Dia turun di mana. Dia mungkin turun di stesen terakhir, mungkin juga di salah sebuah stesen sebelum yang terakhir, saya tidak tahu.

Hari ini, saya berdiri di sebelahnya dan buat pertama kali Dia memandang. Tetapi kerana saya tidak bermata walaupun leher saya berputar ke arahnya, pandangan itu tidak jatuh ke jantung. Barulah saya menyesal tidak berkepala dan bermata hari ini. Tetapi, bukankah lebih menyakitkan jika saya berkepala?

Gerabak tiba dan pintu terbuka. Dia masuk ke dalam dan saya membontotinya, lagak lelaki penyumbaleweng cari peluang. Di dalam gerabak, manusia kepam berhimpit menolak saya ke arahnya. Dia memalingkan badan ke luar gerabak, tidak mahu mendepani saya.

Leher saya longlai ke bahu, mahu masuk ke dada membelit jantung pecah. Mungkin saya tidak perlukan jantung, seperti obor-obor yang hanya ikut arus. Obor-obor tanpa jantung boleh hidup berpuluh tahun. Mungkin juga saya begitu.

Saya patut mulakan dengan sesuatu yang luar biasa.

Misalnya, waktu saya duduk luar rumah mengharapkan ada mulut untuk merokok, ada hantu yang mengensot datang. Hantu itu rambutnya panjang lurus menutup muka, sekurang-kurangya dia ada kepala, cuma tidak berkaki. Saya tidak pasti tentang jantung, saya tidak tanya.

“Berikan aku kaki kau, bukan kau guna pun. Aku datang pun kau tak lari,” katanya.

Saya berdehem tanda tidak senang dan tidak mahu.

“Bolehlahhhh,” rayunya dan mengengsot makin dekat.

Saya tidak jadi berdehem untuk kali kedua.

Perlahan-lahan hantu itu melilit kaki saya dengan tubuh bawahnya yang seperti ekor ular itu.

Bunyi tulang pecah kedengaran. Saya tidak berasa sakit dan saya tidak mahu melawan. Saya hanya mahu merokok sebenarnya.

Tahu-tahu sahaja, kaki saya sudah tiada. Saya pula yang kini mengengsot. Hantu itu sudah berdiri dengan kaki yang pernah jadi milik saya. Tersenyum lebar menampakkan deretan gigi tajamnya. Mukanya masih pucat lesu, matanya merah menyala. Saya tidak tahu apa jenis hantu, jangan tanya.

Dalam ruang kesedaran yang hampir lenyap, saya bertelapati kepadanya.

“Aku tiada kepala, tiada jantung, tiada kaki, apa aku nak buat?”

“Dasar pemalas. Meninggal je lah,” ejeknya sebelum berlari-lari anak masuk ke dalam semak.

Mungkin saya boleh hidup seribu tahun lagi.


Pengarang :