Kakitangan pejabat DUN Batu Tiga menunjukkan kad khas kesihatan dan pengisian minyak “Shah Alam N41” pada Program Pendaftaran Inisiatif Peduli Rakyat di Dewan Meranti, Shah Alam pada 1 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Kad pintar DUN Batu Tiga mudahkan urusan penduduk

SHAH ALAM, 2 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga memperkenalkan kad pintar edisi khas bagi memudah dan mempercepatkan urusan orang ramai di pejabat itu, kata Ahli Dewan Negerinya.

Rodziah Ismail berkata inisiatif yang dimulakan awal tahun ini merupakan yang pertama di negara ini sekali gus mengurangkan beban rakyat membawa pelbagai dokumen.

“Sampai di pejabat DUN, orang ramai hanya perlu ada kad pintar yang mempunyai ‘QR Code’. Apabila membuat imbasan pada kod itu, kesemua data berkaitan individu berkenaan akan dipaparkan.

“Menerusi aplikasi ini tidak perlu lagi kita cari, buka fail. Kaedah itu cara lama sekarang sudah 2020, kita sudah semakin ke hadapan,” katanya.

Rodziah Ismail ketika hadir program Pendaftaran Inisiatif Peduli Rakyat DUN Batu Tiga di Dewan Meranti, Shah Alam pada 1 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas Program Pendaftaran Inisiatif Peduli Rakyat yang dianjurkan Pusat Khidmat DUN Batu Tiga di Dewan Teratai Seksyen 19 di sini semalam.

Katanya, inovasi ini secara tidak langsung membantu beliau memantau data penduduk di bawahnya dengan lebih mudah.

Rodziah berkata, seramai 621 penduduk sudah mendaftarkan diri bagi menggunakan kad pintar berkenaan dan pendaftaran masih dibuka.

“Lebih menarik apabila kad edisi khas itu turut menawarkan pelan insurans, oleh itu saya menyeru supaya lebih ramai mendaftar kerana mereka juga boleh mendapat pelbagai informasi hanya di hujung jari,” katanya.


Pengarang :