Normah Samin bersama anak dan cucu bergambar di hadapan rumah pada majlis Penyerahan Kunci Rumah Laman Haris di Eco Grandeu pada.16 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Peneroka sebak terima kunci rumah idaman

KUALA SELANGOR, 16 FEB: Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Laman Haris hari ini dirai penuh makna penerimanya apabila kediaman yang dinanti selama 20 tahun siap untuk diduduki.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Projek Laman Haris, Umar Ali Basha, 68, berkata peristiwa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia antara pengalaman tidak boleh dilupa dalam usaha mempertahankan hak sebagai pemilik kediaman itu.

Justeru beliau bersyukur kerana dipanjangkan umur untuk melihat sendiri rumah yang dinantikan.

Umar Ali Basha memegang replika kunci sebagai simbolik pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Laman Haris di Eco Grandeu pada.16 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya bersyukur dan amat gembira menerima kunci rumah pada hari ini. Walaupun dalam kegembiraan selepas penantian kami berakhir, saya juga sedih 337 orang peneroka sudah meninggal dunia tanpa sempat melihat rumah mereka.

“Lima orang ahli jawatankuasa saya juga telah meninggal dunia, mereka ini bersama-sama memperjuangkan projek terbengkalai ini,” katanya.

Projek Laman Haris di Eco Grandeur di sini tertangguh sejak 1999, penerima seramai 987 adalah peneroka daripada Rancangan Revolusi Hijau II dan III.

Sementara itu, Normah Samin, 68, pula sebak menerima kunci rumah yang sepatutnya diambil bersama arwah suaminya.

“Sebelum rumah ini siap, kami pernah datang melihat beberapa kali ketika rumah masih dalam proses pembinaan dan dia selalu cakap dengan cucunya, dia tidak sabar untuk tinggal di rumah barunya bagaimanapun hasratnya tidak tercapai kerana meninggal dunia pada Jun tahun lalu,” katanya.


Pengarang :