Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 17 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

368 tanah kerajaan diceroboh – MB

SHAH ALAM, 17 MAC: Sebanyak 368 tanah milik Kerajaan Negeri dikesan diceroboh oleh individu dan kumpulan yang melakukan aktiviti perniagaan, kediaman, penternakan dan rumah ibadat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shaari berkata lokasi itu adalah di Sabak Bernam (1), Kuala Selangor (43), Klang (119), Kuala Langat (121), Hulu Langat (2), Sepang (15), Petaling (34), Gombak (4) dan 29 di Hulu Selangor.

Katanya, sejak 2008 kerajaan sentiasa mencari kaedah untuk mengesahkan kedudukannya dan proses pemilikan tanah terbabit termasuk proses pemutihan dengan memberikan hak milik sementara.

“Kita juga fleksibel…jika tidak menganggu kerja naik taraf seperti penyelenggaraan sungai dan lain. Namun akan ambil tindakan jika ada unsur keuntungan.

“Kita juga beri ruang dan berkompromi dengan masyarakat bukan bertindak zalim, malah ada kes perobohan bangunan ditangguhkan sebelum ini,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang, Dato Mohd Imran Tamrin (BN) berhubung jumlah tanah milik Kerajaan Negeri yang masih diduduki secara haram dan perancangan untuk menyelesaikannya.


Pengarang :