Kereta peronda memeriksa lalu lintas sekitar Colosseum, Rom pada 14 Mac 2020. Itali merupakan negara terjejas teruk selain China susulan Covid-19. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Covid-19: Satu bilion penduduk dunia ‘berkurung’

SHAH ALAM, 22 MAC: Hampir satu bilion penduduk di serata dunia terpaksa berkurung di kediaman masing-masing susulan kebimbangan penularan wabak Covid-19 yang setakat ini meragut 13,022 nyawa.

Berdasarkan penjumlahan dibuat agensi berita antarabangsa, AFP, jumlah itu meliputi 35 negara dengan 600 juta daripadanya diwajibkan atas perintah mandatori oleh kerajaan.

Di Amerika Syarikat (AS), lebih satu per tiga daripada penduduknya terpaksa menyesuaikan kehidupan harian mereka dengan pelbagai fasa perintah berkurung, termasuk di New York, Los Angeles dan Chicago yang juga bandar berpenduduk paling padat, malah lebih banyak lagi negeri dijangka mengambil langkah meningkatkan sekatan.

New Jersey menjadi negeri terbaharu melaksanakan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan pantas pandemik itu yang menyebabkan perniagaan serta institusi pendidikan ditutup dan jutaan orang terpaksa bekerja dari rumah.

Presidennya, Donald Trump, menegaskan bahawa sekarang adalah masa untuk pengorbanan bersama seluruh negara.

Sementara di Itali mencatatkan jumlah kematian paling tinggi akibat wabak berkenaan dengan merekodkan hampir 800 korban dalam tempoh sehari dan menjadikan jumlahnya melepasi 4,800 mangsa di negara itu.

Sepanyol pula melaporkan peningkatan 32 peratus kes kematian baharu manakala di Perancis pula meningkat sebanyak 112 kepada 562 kes.

Polis negara itu menggunakan dron dan helikopter untuk membantu usaha kerajaan memastikan orang ramai tidak keluar rumah.


Pengarang :