Selangorkini
Pasukan polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya walaupun berdepan hujan lebat di kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Selayang pada 23 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Covid-19: Tun M tegur lima peratus degil langgar arahan PKP

SHAH ALAM, 26 MAC: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegur baki lima peratus golongan yang masih degil melanggar Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19, di negara ini.

Beliau berkata individu berkenaan mungkin terkena jangkitan wabak maut itu sekiranya masih berdegil dengan tidak mengikut peraturan.

“Kalau tidak ikut peraturan, mungkin kamu akan jadi mangsa dan dapat jangkitan dari orang lain, kemudiannya penyakit itu akan dibawa kepada keluarga sehingga mereka menerima nasib buruk akibat tingkah laku kamu.

“Oleh itu, ikutlah peraturan supaya kita dapat selamatkan diri, keluarga dan negara,” katanya menerusi siaran langsung di Instagram kendalian selebriti terkenal, Neelofar, hari ini.

Program itu mendapat tontonan lebih 11,000 pemilik akaun Instagram.

Selain Tun Mahathir, semalam Neelofar turut menampilkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam temu bual eksklusifnya itu.

Terdahulu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lebih 95 peratus penduduk patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan pada hari kelapan penguatkuasaanya.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan perintah itu dilanjutkan sehingga 14 April ini.


Pengarang :