Wakil De Palma menyampaikan sumbangan bungkusan makanan kepada kakitangan Hospital Sungai Buloh pada 27 Mac 2020. Foto ihsan De Palma Management Services Sdn Bhd
AGENSISELANGOR

De Palma sumbang makanan kepada empat hospital di Selangor

SHAH ALAM, 29 MAC: De Palma Management Services Sdn Bhd (DPMS) sumbang 400 bungkus makanan tengah hari kepada petugas barisan hadapan di empat hospital di Selangor, kata ketua pegawai eksekutif kumpulannya.

Zaharudin Mohd Sanif berkata sumbangan bungkusan makanan itu dibuat dalam tempoh dua hari bermula 26 Mac membabitkan Hospital Ampang; Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang; Hospital Sungai Buloh dan Hospital Shah Alam.

Beliau berkata agihan itu sebagai tanda penghargaan kepada petugas yang banyak berkorban keringat, masa dan usaha demi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Melalui usaha ini kami berharap dapat mengurangkan bebanan kakitangan hospital. Malah, saya menyeru semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam memastikan wabak ini tidak jadi lebih teruk.

“Rakyat Malaysia perlu lebih prihatin dan menurut saranan serta perintah kerajaan demi kesejahteraan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DPMS merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui rangkaian Hotel De Palma.


Pengarang :